Syeikh Yusuf Makasar pembela dan penjunjung kebenaran

ADA orang marah apabila sesuatu hasil karyanya dipersalahkan. Sangat jarang seseorang itu gembira jika sesuatu kesilapannya ditegur oleh orang lain. Mudah-mudahan saya termasuk orang yang berterima kasih dan berlapang dada jika sesuatu karya saya yang tersilap dibetulkan orang. Walau bagaimanapun, sekiranya orang yang menyalahkan karya saya ternyata salah, maka pasti saya akan membantah berdasarkan bukti-bukti yang ada.

Artikel ini adalah jawapan saya terhadap tulisan pensyarah Kolej Dar Al-Hikmah Kajang, Mohd. Nasir Mohd. Tap. Kertas kerjanya ada menyalahkan tulisan saya. Ia dibentangkan dalam Forum Pengkaji Pemikiran dan Tamadun, Siri Ke-10 pada 27 April 2006 di Bilik Syura, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang. Judul kertas kerja selengkapnya ialah ‘Rekonstruksi Tasawwuf: Kajian Analitis-Historis Reformasi Tasawuf Imam Ahmad Al-Sirhindi dan Pengaruhnya di Nusantara’.

Beberapa kalimat Mohd. Nasir yang menyentuh tentang saya dalam kertas kerjanya perlu saya tanggapi. Saya mulai dengan katanya, “Menurut pemerhatian saya, salasilah yang tersebut di atas mengandungi kontradiksi.” Katanya, ini dilihat dari beberapa sudut:

1. Di dalam buku beliau, Ustaz Wan Mohd. Shaghir menyatakan tarikh kelahiran dan kewafatan al-Syeikh Yusuf al-Maqassari adalah 8 Syawal/3 Julai 1626 M, 1110 H/23 Mei 1699 M, manakala Syeikh Baqi Billah al-Lahori wafat pada 1012 H/1603 M. Ini bererti kedua-duanya tidak pernah bertemu kerana al-Maqassari lahir kira-kira 23 tahun selepas kewafatan Syeikh Baqi Billah wafat pada 1012 H/1603 M (hlm. 14).

Perkara ini dapat saya tangkis, tetapi sebelum saya menyentuh langsung tentangnya perlu saya sebutkan bahawa hal yang sama pernah berlaku dalam salasilah Tarekat Naqsyabandiyah pada nama dalam salasilah yang lebih ke atas. Dikatakan Syeikh Abu al-Hasan al-Kharqani terputus salasilah dengan Syeikh Abu Yazid al-Bisthami. Demikian halnya Syeikh Abu Yazid al-Bisthami terputus salasilah dengan Imam Jaafar ash-Shadiq. Perdebatan yang panjang wujud di Indonesia. Golongan Tarekat Naqsyabandiyah hanya mengatakan menerima ilmu secara ‘rohaniah’, kerana yang demikianlah yang terdapat pada salasilah. Persoalan tersebut telah saya jawab dalam buku Syeikh Ismail Al-Minangkabawi Penyiar Tarekat Khalidiyah (Mac 1985, hlm. 24-28). Hujah-hujah saya yang menjelaskan bahawa salasilah Tarekat Naqsyabandiyah tidak terputus-putus telah dimanfaatkan oleh ramai penulis termasuk beberapa orang dari luar dunia Melayu.

Tentang isu yang diperkatakan oleh Mohd. Nasir, saya jawab seperti berikut. Ketentuan tahun lahir seseorang ataupun tahun wafatnya adalah tidak bersifat pasti atau mutlak. Oleh itu, sangat banyak dalam sejarah terjadi catatan yang berbeza. Sebagai contoh, ada riwayat bahawa sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling panjang umurnya ialah Salman al-Farsi. Ada orang meriwayatkan umurnya 250 tahun dan pihak lain ada yang meriwayatkan 350 tahun. Dengan demikian tentu tahun lahir atau tahun wafat akan berganjak dan berbeza pula. Penentuan umur tersebut pula bukan jarak dekat tetapi sampai 100 tahun. Contoh yang lain, Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-Utsmani. Ada yang menyebut beliau lahir tahun 1226 H/1811 M. Riwayat lain menyebut beliau lahir tahun 1233 H/1818 M. Ini bererti selisih sekitar tujuh tahun. Pembuktian bahawa Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi (Makasar) murid Syeikh Baqi Billah al-Lahori adalah cukup jelas seperti tersebut pada manuskrip yang akan dibicarakan pada bahagian lain dalam artikel ini. Oleh sebab dalam manuskrip dinyatakan bahawa Syeikh Yusuf pasti berjumpa Syeikh Baqi Billah al-Lahori maka bererti tahun kelahiran Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi yang telah ditulis orang selama ini ialah 8 Syawal 1036 H/3 Julai 1626 M, dan tahun kewafatan Syeikh Baqi Billah al-Lahori ialah pada 1012 H/1603 M adalah mengelirukan.

Kekeliruan catatan yang melibatkan selang waktu 23 tahun iaitu setelah Syeikh Baqi Billah al-Lahori wafat baru Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi lahir masih sukar dibuktikan tetapi sekurang-kurangnya unsur-unsur keliru dapat dibuktikan.

Hampir semua penulis sebelum ini, termasuk saya sendiri, menyebut bahawa Syeikh Yusuf lahir pada 8 Syawal 1036 H bersamaan dengan 3 Julai 1626. Saya memetik tarikh itu daripada buku Buya Hamka judul Dari Perbendaharaan Lama (1963, hlm. 39). Abu Hamid dalam Syeikh Yusuf Seorang Ulama Sufi dan Pejuang (1994, hlm. 79-80), menulis, “Lontarak Riwayakna Tuanta Samalaka ri Gowa yang paling umum dimiliki oleh orang Makasar dan Bugis tidak menyebutkan tahun kelahiran Yusuf. Andaikata Lontarak Bilang Raja Gowa dan Tallo tidak menyebutkan kalimat secara ragu-ragu, Ia anne bedeng taunga nakaanakkang I Tuang Syekh Yusuf 3 Juli 1626, 8 Syawal 1036 (konon khabarnya dalam tahun ini dilahirkan Tuan Syeikh Yusuf) maka kita tidak mempunyai sumber yang relatif bisa dipercayai.”

Yang disebut oleh Abu Hamid itu ada persamaan dengan kenyataan Nabilah Lubis dalam Syeikh Yusuf Al-Taj Al-Makasari (1996, hlm. 18-20). Katanya, “Yusuf lahir pada 1626, bertepatan dengan 8 Syawal 1036 H. Tanggal tersebut terdapat dalam Kronik Goa dan Tallo (Ligtvoet 1880), namun Cense menyatakan bahawa tanggal itu baru ditambahkan kemudian setelah Yusuf terkenal. Mulanya yang disebut dalam Kronik Makasar hanyalah bahawa ibunda Yusuf meninggal dunia pada 13 Disember 1666.”

*Catatan

Penyelidikan saya yang terkini mendapati bahawa penyamaan tarikh lahir 8 Syawal 1036 H bersamaan 3 Julai 1626 M kemungkinan adalah tersilap. Tarikh 8 Syawal 1036 H adalah bersamaan 23 Jun 1627 M bukannya 3 Julai 1626 M. Jika kita gunakan tahun Masihi, tarikh 3 Julai 1626 adalah bersamaan 8 Syawal 1035 H, bukannya tahun 1036 H. Jadi ringkasnya, jika kita gunakan catatan tahun Hijrah bererti Syeikh Yusuf lahir tahun 1036 H/1627 M. Jika kita dahulukan catatan tahun Masihi, bererti Syeikh Yusuf lahir 1626 M/1035 H. Dari sini dapat dibuktikan bahawa yang telah ditulis selisih selama setahun. Apa yang betul secara pasti tahun kelahiran Syeikh Yusuf terdapat dua perbandingan tahun 1036 H = 1627 M dengan tahun 1626 M = 1035 H. Saya berpendapat, oleh sebab masyarakat Islam zaman itu menggunakan tahun Hijrah maka catatan yang betul adalah 8 Syawal 1036 H/23 Jun 1627. Catatan tahun wafat Muhammad Baqi Billah al-Lahori juga ada dua. Ada orang yang menyebut tahun 1012 H/1603 M, ada pula yang menyebut tahun 1013 H/1604 M).

Rasanya saya masih berkemampuan mengemukakan hujah-hujah ilmiah untuk meniti kebenaran dan pembelaan atas tulisan-tulisan saya supaya dapat dipelajari oleh pihak-pihak yang memerlukannya. Mohd Nasir menulis dalam kertas kerjanya hlm. 15, “… dan juga kesilapan mengidentifikasikan antara dua individu yang berlainan (antara Syeikh Abdul Baqi al-Mizjaji dengan Muhammad Abdul Baqi / Baqi Billah al-Lahori) telah membawa pengertian yang salah bagi pihak ustaz Wan Mohd. Shaghir sehingga beliau mengatakan ketika menerangkan Tarekat Naqsyabandiyyah yang dibawa oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi bahawa Syeikh Muhammad Baqi Billah al-Lahori adalah guru kepada Syeikh Yusuf al-Mankatsi (al-Maqassari) Taj al-Khalwati.”

Kenyataan Syeikh Muhammad Baqi Billah al-Lahori adalah guru kepada Syeikh Yusuf al-Mankatsi bukanlah merupakan pendapat saya, tetapi adalah berdasarkan beberapa manuskrip yang tersebut di bawah ini.

Rujukan yang pertama ialah manuskrip Kitab Ar-Risalah an-Naqsyabandiyah Yusuf li al-Qadhi Bilad Buni (maksudnya: Bone, Sulawesi Selatan, pen:), koleksi saya sendiri, ditulis dalam bahasa Arab. Terdapat salasilah lengkap Tarekat Naqsyabandiyah, disebut nama gurunya Mahdi az-Zaman al-Khuji Muhammad al-Baqi al-Lahuri (Lahore, India, pen:). Diperkukuhkan lagi dalam manuskrip Zubdah al-Asrar fi Tahqiq Ba’dhi Masyarib al-Akhyar, juga koleksi peribadi saya sendiri, beliau tulis nama selengkapnya Syaikhuna (maksudnya guruku, pen:) al-Imam Muqtadha al-Anam al-Wali al-Arif Billahi Taala Maulana asy-Syeikh Muhammad Baqi an-Naqsyabandi al-Yamani. Diperkukuhkan lagi dalam manuskrip Zubdah al-Asrar, manuskrip Universiti Leiden Or. 7025 disebut oleh Nabilah Lubis dalam buku Syeikh Yusuf, Al-Taj Al-Makasari hlm. 132 pada catatan nota hujung nombor 55, menggunakan nama Maulana asy-Syeikh Muhammad al-Baqi Billah.

Ia juga menggunakan nama yang sama iaitu Maulana asy-Syeikh Muhammad Baqi an-Naqsyabandi al-Yamani, hlm. 114 teks Arab dan hlm. 115 teks bahasa Indonesia. Dalam Zubdah al-Asrar, manuskrip dalam bahasa Jawa, Naskhah Jakarta A 45, nama yang disebut juga sama iaitu Syeikh Muhammad Baqi Naqisybandi Tariqatane, Yamani Desane.

Hamka dalam Dari Perbendaharaan Lama menggunakan nama Abi Abdillah Muhammad Abdul Baqi (hlm. 40). Terkini, baru-baru ini (April 2006), Syamsul Bahri Andi Galigo dalam kertas kerjanya juga menggunakan nama Syeikh Abu Abdillah Muhammad Abdul Baqiy (Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, hlm. 641). Tidak satu nama pun daripada rujukan-rujukan di atas menyebut nama Syeikh Abdul Baqi al-Mizjaji (hlm. 15) ataupun Muhammad bin Muhammad al-Mizjaji al-Yamani (hlm. 16) seperti yang disebut oleh Mohd. Nasir.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan memang ada karya Syeikh Yusuf selain yang disebut itu memakai ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) pada hujung nama, selengkapnya seperti Syeikh Abu Abdullah Muhammad Abdul Baqi bin Syeikh al-Kabir al-Mazjaji (al-Mizjaji) al-Yamani az-Zaidi an-Naqsyabandi.

Nama ini beliau sebut dalam karyanya judul Sainah an-Najah, juga disebut oleh Prof. Dr. Tudjimah dalam buku Syeikh Yusuf Makasar, Riwayat dan Ajarannya (hlm. 16 dan 202). Bagi saya, masih dalam ‘kemungkinan’ ada dua nama yang serupa atau hampir serupa dalam satu zaman, yang seorang terdapat pada hujung namanya ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) dan yang seorang lagi tidak. Saya anggap yang terdapat ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) pada hujung nama masih sangat lemah kerana sepanjang penelitian saya tidak seorang pun penulis yang menyebut tahun lahir ataupun tahun wafatnya.

Mohd. Nasir dalam kertas kerjanya juga tidak menyebut tahun lahir ataupun tahun wafat ‘al-Mazjaji’ yang dikemukakannya sebagai guru Syeikh Yusuf Taj al-Khalwati. Perkara itu serupa dengan nama sehingga meragukan dan timbul pertanyaan apakah hanya seorang tokoh atau dua orang, atau lebih, bukan berlaku terhadap ulama yang diriwayatkan di atas saja, tetapi juga terjadi pada ulama-ulama lain. Sebagai contoh Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri ataupun Syeikh Abdur Rauf Singkel.

Apakah hanya seorang Syeikh Abdur Rauf atau dua orang? Perkara ini termasuk dalam polemik antara Prof. Dr. Hamka dengan Ir. Mangaradja Onggang Parlindungan. Sangat panjang bicaranya dalam buku Buya Hamka berjudul Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao terbitan Bulan Bintang, Jakarta, 1971.

Ada pun nama yang disebut dalam salasilah Syeikh Ismail al-Minankabawi dalam konteks yang dipersoalkan ialah asy-Syeikh al-Imam Muhammad Baqi Billah yang dapat dirujuk selengkapnya dalam ar-Rahmah al-Habitha fi Zikr Ism az-Zat wa ar-Rabithah (Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1425 H/2004 M, hlm. 83). Masih banyak perkara dalam kertas kerja Mohd. Nasir perlu saya bahas tetapi kerana kekurangan ruangan terpaksa saya tinggalkan saja, dan akan saya bahas lebih lengkap dalam buku tentang Syeikh Yusuf.

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Sumber: ulama nusantara